Wednesday, June 26, 2013

ALHAMDULILLAH Dipermudahkan

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Saya baru balik dari kelas. Alhamdulillah, Allah s.w.t mempermudahkan urusan saya hari ni.

Kelas ada dua je. Pagi tadi jam 8 sampai 10 kemudian sambung kuliah lagi pada jam 4 petang sampai 6. Jarak masa tu agak jauh jadi saya boleh balik bilik dulu sementara menunggu waktu kelas seterusnya.

Petang tadi kelas HKR. Kami panggil kelas pengurusan ekonomi rumahtangga. Senyum. Cakap pasal rumahtangga je senyum. Masa dalam kelas pun kejap sengih, kejap gelak. Ustaz yang mengajar pandai je bagi syarahan sampai kami tak sempat nak rasa boring.

Ustaz bagi balik awal. Jam 5.30 dah keluar. Dan alhamdulillah sebab ada kawan yang bawa kereta. Bolehlah dia tumpangkan naik pergi kolej. Tak payah tunggu-tunggu. Lagipun dekat sini maghrib jam 6.33.

Bila kawan tolong hantarkan naik pergi kolej, dapatlah saya beli makanan awal-awal. Tak payah berebut. Dan seperti yang saya jangka, memang tak ramai pelajar turun beli makanan.

Saya pun pergilah beli.

Sekarang tengah menunggu waktu maghrib. Tak lama. Kejap je lagi. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan semuanya. Seharian berpuasa tak terasa sangat laparnya. InsyaAllah sedang mempersiapkan diri 'menemui' Ramadhan al-Mubarak.

Bila kita buat sesuatu yang baik kerana Allah s.w.t, Dia akan bantu mempermudahkan urusan kita. Tapi adakala Dia sengaja berikan ujian untuk menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapi ujian-Nya.

Selamat berbuka puasa :)

posted from Bloggeroid

Saturday, June 22, 2013

Belajar Bahasa Arab

"Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang"

Assalamualaikum.

Rancangnya nak update entri ni minggu lepas. Tapi tangguh punya pasal, terperaplah dalam draft. Ditambah lagi dengan masalah line dekat sini yang tak berapa nak cun. Jadi, maaflah kalau saya jarang berkunjung ke blog anda ye.

Dekat kampus UiTM Sabah ni, saya ambil Diploma Pengurusan Perniagaan. Untuk batch saya dan sebelum-sebelumnya, bila dah naik semester 3, kami ada subjek pilihan bahasa asing. Pelajar boleh memilih samada untuk memilih bahasa Arab atau Mandarin.

Tapi untuk batch yang baru ni, saya tak pasti pada semester berapa mereka akan mengambil subjek ini. Saya dengar, semester sudah dipendekkan. Entahlah. Saya tidak dapat memastikannya pada waktu ini.

Berbalik pada topik utama.

Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk belajar bahasa Arab. Masa sekolah menengah dulu memang ada belajar. Dari tingkatan 1 sampai 3. Lepas tu dah tak ada. Kalau saya kira-kira, ada lebih kurang 5 tahunlah saya meninggalkan bahasa Arab tu.

Dalam 5 tahun tu, memang tinggal terus belajar bahasa Arab. Semester ni, alhamdulillah hati lebih memilih bahasa Arab untuk dijadikan subjek pilihan berbanding Mandarin. Saya pilih bahasa Arab bukanlah kerana saya bertudung labuh. Bukan juga untuk menunjuk-nunjuk yang saya ni baik sangat. Tapi saya terlalu ingin mendalami lagi bahasa Arab ini. Terlalu banyak kelebihannya yang tak dapat saya senaraikan satu persatu.

Kelebihannya bukan saja untuk dunia, malahan untuk akhirat juga.

Sayangnya, tidak ramai yang memilih untuk belajar bahasa Arab. Mereka lebih memilih untuk belajar bahasa Mandarin. Ustaz yang mengajar kami juga sudah berkali-kali meminta kami untuk memujuk kawan-kawan yang lain. Tapi tidak berhasil. Yelah. Takkan hendak dipaksakan pula.

Bayangkan, dari berpuluh pelajar hanya lebih kurang 10 orang saja dalam kelas kami. Dari yang saya dengar, dalam kelas Mandarin hampir 20 orang yang ada. Allah...

Jadi kami cuba menggunakan cara yang lembut untuk menarik hati kawan-kawan yang lain. Iaitu mempraktikkan perkataan-perkataan bahasa arab dalam perbualan harian kami.

Contohnya perkataan نَعَمْ - (na'am) yang bermaksud ya. Memang selalu kami guna dalam perbualan. Rasa teruja bila guna perkataan-perkataan baru.

Bukan tu saja. Lepas masuk kelas bahasa Arab ni, kami dah tahu macamana nak buat tulisan bahasa Arab menggunakan laptop. Ya Allah... Dulu-dulu, kalau saya nak taip bahasa jawi atau arab guna laptop, punyalah main payah. Saya kena pergi insert dulu, lepas tu cari simbol arabic kemudian baru masukkan satu persatu simbol-simbol bahasa arab tu. Bukannya taip. Tapi sekarang alhamdulillah saya dah tahu macamana.

Tak sangka boleh taip bahasa jawi dan arab guna laptop juga. Dan sekarang juga saya dah tahu fungsi sticker keyboard yang ada tulisan bahasa arab tu semua. Ingatkan dulu hiasan saja. Rupanya memang ada fungsinya.

Kebetulan, ustaz tu juga jual sticker keyboard dekat kami. Mudahlah untuk kami belajar menaip bahasa arab dan jawi lepas ni. Harga yang dikenakan juga agak murah. Tidak seperti di kedai-kedai lain. Ada yang saya jumpa sampai RM9. Ustaz kami menjualnya dengan harga RM5 sahaja.


Saya bukanlah nak kata belajar bahasa Mandarin tu tak penting. Masing-masing ada pilihan. Tapi kalau saja mereka boleh melihat kebaikan dan kelebihan bila belajar bahasa arab ni. Alangkah baiknya. Terutama pada pelajar yang beragama islam.

Ustaz pun sedih bila tengok jumlah orang yang ada dalam kelas kami. Siapa lagi nak kembangkan bahasa ini kalau bukan kita yang beragama islam?

Friday, June 21, 2013

Pengalaman Seorang Pelajar Repeater

“Dengan Nama Allah S.W.T Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang”

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, dapat juga saya update blog ni. Setelah sekian lama bermain tarik tali dengan diri sendiri untuk update blog, akhirnya tercapai juga hasrat yang terpendam ini.

Tapi, bila lama tak menjengah ke mari, rasa kekoklah pula nak menulis walaupun sebenarnya banyak benda yang nak diceritakan. Maklum sajalah, sudah dua minggu berehat dari menulis pasti ada banyak hal yang berlaku. Tapi nak menceritakan semuanya, tiba-tibalah pula jadi ‘kelu’. Kelu bukan apa. Tak tahu nak bermula dari mana.

Tak apa. Saya akan ceritakan satu persatu. Yang mana saya rasa boleh memberi manfaat, insyaAllah akan saya kongsikan. Sesungguhnya, yang baik itu datang dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri. Semoga Allah meredhai.

Sudah hampir dua minggu saya berada di kampus. Tapi saya rasakan seolah-olah sudah berbulan lamanya saya di sini. Mungkin penangan rindukan keluarga di rumah agaknya. Orang kata, rindu berlebihan. Baru dua minggu berjauhan, sudah menangis mahu pulang. Senyum.

Setakat ini, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Tapi tipulah kalau saya katakan hari-hari yang saya lalui semuanya serba serbi SEMPURNA. Tidak. Ujian pastinya mengiringi hari-hari saya. Terpulang pada diri ini saja bagaimana untuk menerima dan menghadapi ujian-ujian tersebut.

“Sesulit mana pun ujian yang diberi, pasti akan menjadi mudah bila diri percaya dan yakin pada ketentuan dari Allah S.W.T.. semuanya akan dapat diatasi walaupun pada permulaannya agak sukar untuk dijalani.”
Dan Alhamdulillah. Allah s.w.t sentiasa memberi kekuatan pada saya untuk terus menghadapi ujian-ujian dari Dia.

Antaranya ialah ujian ‘REPEAT’. Dalam entri ‘Pelajar Repeater, Peluang Masih Ada’, saya ada nyatakan bahawa saya adalah seorang pelajar repeater. Pedih, tapi kena terima juga. Gagal bukan bermakna b*d*h, tapi ‘meminta’ saya untuk berusaha lagi. Sedih tetap ada tapi saya kuatkan juga hati.

Sebab saya tahu. Kalau saya rasa masalah saya besar, ada orang lain lagi yang lebih besar masalahnya dari saya. Saya cuma gagal dan perlu mengulang semula. Tapi bagaimana dengan mereka yang diberhentikan pengajiannya? Jadi, saya pujuk diri dan hati untuk bersyukur kerana kegagalan ini bukanlah kegagalan yang kekal dan berpanjangan.

Alhamdulillah juga sebab semenjak bergelar pelajar repeater ni, saya belajar banyak perkara. Termasuklah mendidik diri sendiri untuk menjadi berani, yakin pada diri, bersabar, berdikari, berusaha. Alhamdulillah ya Allah. Mungkin apa yang terjadi ini adalah hal yang terbaik untuk diri saya agar menjadi seorang pelajar yang lebih baik.

Mula-mula memang payah juga. Sampai saya menangis-nangis sebab jadual tak sama dengan kawan-kawan rapat. Maksudnya saya kena masuk dalam kelas baru sorang-sorang. Apa saya tak menangis. Sebelum ni, sikit-sikit dengan kawan. Macam susah nak berenggang.

Sekarang, bila dah jadi pelajar repeater ni, jadual dah tak sama dengan kawan-kawan sekelas yang lulus. Kena berdikari cari jadual sendiri. Nasiblah kalau kena masuk kelas junior sorang-sorang. Masa ni lah baru saya faham perasaan repeater yang pernah masuk kelas saya dulu.

Suka atau tidak, saya kena masuk kelas baru tu juga. Kelas junior untuk mengulang balik subjek yang saya dah gagal. Malu yang teramat. Tapi saya tebalkan muka, kuatkan hati, banyakkan senyum dan banyak mengingati Allah s.w.t.

Dan syukur sebab segalanya dipermudahkan oleh Dia yang sentiasa bersama hamba-hambaNYA.

Pensyarah yang mengajar memang sporting, pelajar-pelajar dalam kelas juga menerima kehadiran saya dengan senyuman. Hilang semua rasa takut yang ada.

Saya tahu, bukan semua orang akan menerima layanan sebaik itu. Kadang-kadang, ada juga repeater yang dipandang rendah oleh sesetengah orang. Tak cukup dengan itu, dipulau pula oleh orang. Tapi kalau kita bersangka baik dengan orang lain, terutama sekali dengan Allah s.w.t, insyaAllah semuanya akan mudah.

Saya selalu yakinkan diri bahawa pandangan manusia pada saya itu hanya biasa. Saya lebih mementingkan pandangan Allah kerana pandangan itulah yang lebih utama untuk menentukan saya hamba yang bagaimana.

InsyaAllah, kali ni saya akan berusaha dengan lebih gigih.
Syukran Allah :D

Tuesday, June 4, 2013

Tips Membeli Laptop

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Petang tadi ibu ajak keluar. Rancang nak tengok laptop. Lepas misi banding membanding antara 3 buah kedai berlaku, akhirnya berjaya juga angkat sebuah laptop. Sebenarnya, laptop lama saya dah rosak. Kos nak baiki hampir sama macam beli baru. Bincang punya bincang, akhirnya semua bersetuju saya beli laptop baru.

Saya ambil jenama 'acer' juga. Sebab ni aje yang saya nampak murah. Yang lain, terbeliak biji mata tengok harga. Lagipun, saya beli laptop guna untuk belajar aje.

Bukan tak boleh pinjam dari kawan-kawan. Tapi saya faham, mereka pun nak guna juga. Jadi, beli sendiri lebih baik bagi saya. Rosak ke, apa ke, tak payah risau. Laptop sendiri. Kalau rosakkan laptop orang, tak ke menyusahkan orang.

Kenal Pasti Kedai yang Menjual Murah
Pertama sekali, cari kedai yang anda sedia maklum menjual laptop dengan harga yang murah. Tanyalah siapa-siapa yang anda rasa tahu mengenainya. Macam saya sendiri, ibu yang mencadangkan tiga buah kedai sebab ibu sangat pakar dalam mengesan kedai yang murah. Ibu saya sangat awesome. Senyum.

Bandingkan Harga
Nak beli laptop ni kena pilih betul-betul. Kaji harga sebaik-baiknya. Produk sama, kualiti sama, tapi harga berbeza. Saya akan pilih yang paling murah. Sayangnya, ketiga-tiga kedai yang saya pergi tadi, menjual laptop dengan harga yang sama. Sukar bagi saya untuk membuat pilihan. Kalau anda berdepan dengan masalah seperti saya. Kita ke langkah seterusnya pula.

Freegift yang Ditawarkan
Setahu saya, bila beli laptop yang baru di kedai, mereka akan menyediakan hadiah percuma. Saya agak, mungkin ianya salah satu taktik untuk menarik perhatian pelanggan. Lain kedai, lain freegift yang disediakan. Macam saya tadi, ketiga-tiga buah kedai tersebut menyediakan freegift yang betul-betul berbeza. Dan saya memilih kedai yang menyediakan freegift yang banyak. Senyum comel.

Ada 15 semuanya. Alhamdulillah, kesemua freegift yang disediakan memang berguna bagi saya. Antaranya termasuklah tetikus, alas tetikus, pendrive, card reader, getah lutsinar untuk melindungi keyboard dari dimasuki habuk, beg galas acer dan lain-lain.

Bila nak pilih freegift tu, pilihlah ikut kegunaan. Jangan tengok kuantitinya yang banyak saja.


Nampak tak alas tetikus tu? Angry bird! Adik bongsu saya awal-awal lagi dah booking.

Kekurangan Laptop Saya
Setiap kelebihan, pasti terselit sedikit kelemahan. Laptop yang saya beli pun macam tu juga. Salah satu kekurangannya ialah, tak ada lesen. Maknanya, laptop ni hanya boleh digunakan di Sabah sahaja. Tak boleh bawa keluar dari Sabah. Tak boleh bawa pergi Semenanjung. Tapi saya tak risau sangat. Lesen boleh beli. Harganya lebih kurang RM200 ke RM300 lah macam tu.

Setakat ni saya tak terfikir lagi nak keluar dari Sabah. Jadi, lesen tu tak penting sangat buat masa ni. Ada duit lebih nanti saya belilah lesennya. Tu pun kalau agak-agak nak ke tanah Semenanjung lah.

Kedua, masalah bluetooth. Tadi masa tanya kakak dekat kedai tu, dia kata ada bluetooth. Sampai rumah, godek-godek sikit. Tak bolehlah pula nak bluetooth. Tak taulah kalau saya yang tak reti. Nanti nak cubalah lagi.

Nasihat dari Ayah Tercinta
"Along jaga baik-baik laptop ni ye..."

"Baiklah bos..." Senyum manja dekat ayah.

Usikan dari Adik-beradik
Bukan adik beradik ye kalau tak ada sesi sakat menyakat. Enam orang adik saya betul-betul perli saya dengan laptop baru ni. Terutamanya adik perempuan yang nombor dua. Rasa nak lempang laju-laju aje.

Pesanan Buat Diri Sendiri
Sejujurnya, saya gembira sebab akhirnya dapat merasa ada laptop sendiri. Macam seorang ibu yang menjaga babynya dari kecil sampai besar. Sebelum ni saya dapat laptop second-hand yang bateri dah out, sistem dah low. Kali ni dapat yang fresh punya. Guling-guling gembira.

Lepas ni bolehlah saya melakukan aktiviti menulis bila-bila masa saya nak. Impian nak menghasilkan sebuah buku sendiri masih tersemat rapi dalam hati.

Laptop ni hanya barangan untuk dunia. Tak boleh bawa masuk kubur! Cinta laptop=cinta dunia. Cinta yang melebihkan Allah s.w.t hanya sia-sia saja. InsyaAllah, saya akan manfaatkan barangan dunia ini untuk mencari bekalan di akhirat nanti. Allah :'(

Cukuplah sampai sini.

Monday, June 3, 2013

Jika Terakhir Buatku

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum. Senyum.

Ana suka sangat menulis. Sebab tu blog ni diwujudkan. Ana berharap dapat berkongsi sesuatu yang bermanfaat pada pembaca. Tapi entahlah. Risau juga kalau-kalau penulisan ini akan 'makan' diri ana sendiri suatu hari nanti. Nauzubillah min zalik.

Melihatkan entri di draft yang semakin bertimbun, ana mula berfikir. Setiap entri yang ana cuba karang sering tergendala. Sampai separuh perenggan, ana berhenti. Tak diizinkan sama sekali untuk ana publish dan kongsikan bersama pembaca padahal ana tahu apa yang mahu disampaikan. Mungkin ada yang tak kena.

Entahlah. Ana rasa, mungkin ana patut berhenti sekejap dan mula muhasabah diri. Sebelum mengundurkan diri, ana sempat dengar lagu ini. Jika Terakhir Buatku dari Saujana. Indah sungguh liriknya. Selamat menulis semua. Menulislah kerana Allah s.w.t. dan sebarkan cinta-Nya.

Oh Tuhan
Hamba-Mu ini kekeliruan
Sukar mencari jalan yang benar
Kerna dipaut hasut dunia
Mencintai yang lain lebih dari-Mu

Oh Tuhan
Hidayah-Mu pernah hadir
Hingga kering airmataku menitis
Namun terkadang aku berpaling
Kerna mengejar nikmat dunia sementara

Hari ini ku bimbangi
Jika terakhir hidup
Adakah lagi subuh esok
Untuk ku bernafas
Dan sujud mengabdi pada-Mu
Oh Tuhan

Berikan daku kesempatan
Menebus kesalahan
Lantaran dosa dan noda
Dan sengaja melupakanmu
Hadirkan damai
Sebelum di hujung nafasku

Oh Tuhan
Berikan daku petunjuk-Mu
Untuk ku meniti ke jalan redha-Mu
Izinkan daku mengulangi
Janji-janji yang baru
Taubat nasuha setulus untuk-Mu
Oh Tuhan

Rahmat kasihMu Tuhan
Ampunan-Mu ku damba

Melayan Karenah Kamu Sayang

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alahai. Jam di laptop sudah menunjukkan pukul 12:52 AM. Ana masih lagi berjaga. Tapi tidak bersendirian. Di sini duduk sebelah ana ada seorang budak kecil berusia hampir 3 tahun ikut berjaga bersama.

Sudah puas dipujuk suruh tidur. Waktu begini tidak sesuai bagi anak sekecil itu untuk berjaga. Bila tv ditutup, merengek pula dia minta dibuka semula. Kalau permintaannya tidak ditunaikan, tunggulah jeritan paduan dari dia.

Telefon bimbit ana jadi sasarannya. Buka youtube, sibuk suruh carikan lagu Polis Sedia Berkhidmat. Jumpa lagu tu, suka betul dia. Aduh sayang. Patriotik sungguh kamu.

Habis lagu Polis Sedia Berkhidmat, mahu lagu lain pula. Tapi kali ini ana tak faham apa lagu yang dia mahu. Bahasa yang digunakan terlalu sukar untuk difahami. Ana carikan lagu Khidmat Negara untuk dia. Suka juga rupanya.

Sebenarnya Dia Adik Bongsu Ana :)

Habis mendengar, tiba-tiba bergerak dari kerusi. Sampai di perenggan ini, ketahuilah anak itu sudah tiada di sisi ana. Senyum. Mungkin sudah mengantuk. Dia berjalan sendiri masuk ke bilik ibu ana. Tidak kedengaran lagi suaranya. Tidur mungkin.

Tersenyum sendiri. Kurang dari seminggu lagi untuk kembali ke kampus. Allah.. Pasti merindui budak kecil ini.

Jujur ana katakan. Kadangkala, teruji juga diri bila menjaga dia. Budak kecil. Mahu dimarah, apalah yang dia tahu. Risau juga bila difikirkan. Ini baru adik, macamana anak sendiri nanti? :D

Mungkin ana belum faham situasi sebenar kerana ana juga belum ada pengalaman menjaga seorang anak kecil secara full time. Part time adalah. Semoga diberi kekuatan untuk menjadi ibu mithali suatu hari nanti.

Haa, sudah puas melayan si kecil. Giliran ana pula untuk tidur.

Sunday, June 2, 2013

Menulis dengan Berhati-hati

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum buat kalian yang bertandang tanpa jemu ke sini. Semoga Allah sentiasa merahmati kalian semua :)

Manusia boleh berubah bila-bila masa. Kalau kelmarin dia tak berapa nak baik, boleh jadi hari ini dia berubah jadi baik. Dan perubahan ni kadangkala luar dari perancangan kita. Kalau sekarang kita ada niat nak berubah jadi baik, boleh jadi petang nanti niat tu masih belum terlaksana.

Tadi saya ada belek entri lama dekat blog archieve. Ya Allah, macam tak percaya je saya yang taip entri-entri tu semua. Is that me? Since 2011 sampailah 2013. Allahu Allah. Banyak sangat kerja merapu di permulaan entri.

Rasa macam nak delete semua. Tapi bila baca lagi, ada juga entri yang baik. Teringat dekat satu peribahasa Melayu. 'Dalam setandan pisang, bukan semuanya busuk.' Jadi, saya akan luangkan sedikit waktu untuk edit atau terus padam saja entri yang kurang elok untuk dijadikan bahan bacaan.

Satu pengajaran bagi saya dan semua. Kadangkala, kita tak sedar penulisan kita yang berlandaskan nafsu semata-mata boleh memberi kesan pada diri sendiri atau pada orang lain di masa akan datang.

Jadi, perlu berhati-hati bila menulis sesuatu. Bimbang nanti membawa mudarat pada diri sendiri. Terutama aib. Aib kita yang Allah dah tutup, tapi kita yang beria menyebarkannya pada orang lain. Sungguh, saya juga bimbang kalau saya berada dikalangan manusia yang suka mendedahkan aibnya dengan sia-sia.

Mohon ditegur saya andai ada kesilapan dalam penulisan saya. InsyaAllah akan diperbaiki di masa akan datang.

Saturday, June 1, 2013

Pesanan Buat Muslimah

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Lepas makan malam, baru perasan ada mesej diterima. Baca.


Beritahu pada muslimah itu.
Dirinya ibarat kaca,
disentuh terguris,
dihantuk serpih,
dihempap berkecai.

Beritahu pada muslimah itu jaga tutur kata.
Cakap tinggi nanti dibenci,
terlalu rendah dipijak pula,
cakap sombong mengundang lawan.
Hati-hati meluah kata,
kerana pulut santan binasa,
kerana mulut badan binasa.

Beritahu pada muslimah itu.
Jaga tingkah laku,
harga diri terletaknya di situ,
jangan meluru ikut telunjuk nafsu.

Beritahu pada muslimah itu.
Jaga pakaian,
ia cermin peribadi,
juga lambang bangsa,
di mana dan dalam keadaan macamana pun,
biar orang kenal,
dia orang islam.

Beritahu pada muslimah itu.
Simpan secebis malu,
kerana malu itu sebahagian daripada iman,
dan iman adalah di syurga.

Alhamdulillah saudari. Pesanan saudari akan saya semat dalam hati. Terima kasih menjadi sahabat yang selalu menasihati. Perkongsian yang sedikit ini, saya kongsikan bersama semua. Mungkin saja kata-kata ini hanya dipandang sepi kerana ia kurang bererti pada hari ini. Tapi insyaAllah, saya mendoakan semoga suatu hari nanti kalian akan mula menghargai kata-kata ini seperti kalian menghargai diri kalian sendiri. Amin ya Rabb. Senyum manis..


Resepi Ilham Dari Allah s.w.t

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alangkah bahagianya hidup kalau kita selalu kaitkan kehidupan kita dengan Allah s.w.t.. Sesungguhnya, yang baik itu datang dari Dia dan yang buruk itu datang dari diri kita sendiri.

Bila kita faham perancangan Allah, kenapa kita diuji, kenapa perkara tu terjadi, insyaAllah. Hebat macamana pun dugaan yang diberi, kita akan tersenyum bahagia kerana kita percaya Dia adalah sebaik-baik perancang.

Alhamdulillah, semenjak berhijrah. Saya mulai faham banyak perkara. Terima kasih Allah.

Semalam saya goreng nasi. Saya gunakan saja bahan yang saya jumpa dekat dapur. Nasi goreng campak namanya.

1. Bawang merah, putih dan besar (dicincang)
2. Lebihan nasi tengahari (pecah-pecahkan)
3. Lada putih/lada sulah
4. Untuk pedaskan sikit, saya letak 3 biji lada
5. Garam dan ajinomoto secukupnya
6. Telur 2 biji
7. Sedikit minyak untuk tumis bawang

Saya goreng nasi ni ikut suka hati. Walaupun saya kata campak, tapi taklah saya main campak je. Penuh sopan saya masukkan bahan-bahan tadi dalam kuali. Yang campaknya adalah, bahan-bahan yang digunakan tak adalah mewah. Bahan-bahan asas juga.

Alhamdulillah, walaupun namanya 'Nasi Goreng Campak'. Dengan izin Allah s.w.t, nasi goreng tu jadi sedap. Saya masak untuk keluarga. Takut juga tak ikut tekak mereka. Tapi Allah s.w.t permudahkan semuanya. Rasa gembira dan bahagia sebab dapat buat orang suka.

Hal yang sebenarnya, saya ni taklah pandai masak. Ibu pun dah 'basuh' telinga ni. Macamana nak kahwin kalau tak pandai masak untuk suami nanti. Sengih saja jawabnya.

Kita masak yang sedap-sedap tu semua, bukan dari diri kita. Tapi ilham dari Allah s.w.t.. Tanpa izin dari-Nya, kita campak bahan-bahan mewah pun, takkan sedap kalau tak diizinkan Dia. Jadi, bila dah sedap. Ingatlah pada Dia. Segala pujian dari manusia itu kembali pada Dia. Alhamdulillah.

Mudahkan hidup bila kita mengingati kekasih abadi kita :)

posted from Bloggeroid