Wednesday, July 31, 2013

Dari Mata, dengan Izin Allah S.W.T

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Penat berjalan membuatkan aku mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Ajakan teman-teman untuk keluar mencari baju ku sambut dengan baik. Tapi belum pun lama berjalan, aku mulai merasa lemah. Mujur ada tempat duduk yang disediakan.

"Insyirah, jom masuk," ajak sahabatku yang bernama Aina.

Aku menggeleng. "Takpelah Aina. Aina masuklah. Syirah tak larat. Syirah tunggu dekat luar je eh," kataku.

Aina faham. Aku melihat Aina sehingga kelibatnya hilang masuk ke dalam kedai tudung tersebut. Teman-temanku yang lain juga sedang sibuk mencari keperluan masing-masing. Aku pula, lebih memilih untuk merehatkan diri bila barang yang ku cari tidak aku temui.

Sedang asyik melihat keadaan sekeliling, mataku tertumpu pada satu kumpulan muslimah yang lengkap bertudung labuh baru keluar dari kedai yang sama Aina masuk tadi. Ada juga antara mereka yang mengenakan purdah pada wajahnya. Aku senyum sendiri.

Bimbang dikatakan memerhati, cepat-cepat aku larikan pandangan dari terus melihat mereka. Aku tunduk memandang ke lantai. Peluh di dahi mulai hilang tapi panasnya masih lagi terasa. Namun begitu, aku tetap merasa tenang dan selesa walau ada sehelai kain yang menutup sebahagian wajahku.

Kumpulan muslimah tadi sudah hampir dengan tempat di mana aku duduk. Tepat masanya terpandang mereka, aku memberikan satu senyuman. Seolah-olah memahami, mereka membalas senyumanku. Termasuk muslimah yang mengenakan purdah tadi. Matanya sedikit mengecil tapi aku yakin dia sedang tersenyum ke arahku.

Saat mereka lalu di hadapanku, muslimah yang berpurdah itu seakan-akan terus memerhatikan aku. Sangkaku, mungkin dia juga memikirkan hal yang sama seperti apa yang aku sedang fikirkan. "Kita sama." Aku juga membalas pandangannya. Pandangan yang bukan sekadar memandang. Tapi ada sesuatu yang lain.

Dengan keberanian yang ada, aku bangun dari tempat duduk dan menghampiri kumpulan muslimah berkenaan.

"Syirah ke ni?" muslimah berpurdah itu bertanya.

"Aisyah?" aku menyoal semula tanpa menjawab soalan yang diberikan.

"Allah ..." dia bersuara.

Hatiku berdebar.

"Syirah, ni Aisyah..." katanya lagi.

Aku terpaku sebentar. Terkejut dengan apa yang baru berlaku. Subhanallah. Maha suci Allah. Rupanya muslimah berpurdah yang ku perhati dari awal tadi adalah sahabat seperjuanganku dulu sewaktu kami sama-sama berada di sekolah menengah. Tapi dia telah berpindah di pertengahan tahun itu. Dan perpisahan kami langsung tiada ucapan selamat tinggal.

Sebenarnya, kami bukanlah kawan rapat. Biasa-biasa saja. Bila bertemu di sekolah, sekadar menyapa kemudian masing-masing membawa haluan sendiri. Tapi setelah hampir 6 tahun tidak bertemu, tanpa sebarang khabar mahupun berita. Kami akhirnya ditemukan dengan izin Allah s.w.t dalam keadaan masing-masing sudah berhijrah. Alhamdulillah.

Kami sama-sama mengenakan sehelai kain menutupi sebahagian wajah. Hampir 6 tahun tidak berjumpa. Tapi dengan izin-NYA, kami dipertemukan semula dan masing-masing punya naluri hati yang kuat bahawa kami saling mengenali. Sayu sungguh hati. Sungguh, Allah itu Maha Besar. Maha Mengetahui.

Hanya melalui mata saja, kami boleh mengenali. Kalau Allah berkehendak, tiada siapa yang boleh menghalang.

23 Julai 2013...

**Autopublish

Saat Diberi Ujian

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Saya ditanyakan SOALAN oleh seorang sahabat.

Kelihatannya dia agak terganggu dengan MASALAH yang dia sedang hadapi.

Sayangnya saya tak mampu memberi jalan penyelesaian.

Tapi mungkin saya boleh memberi cadangan.

Harapnya dapat membantu.

Sekurang-kurangnya mungkin boleh buat dia berfikir LEBIH terbuka sedikit.

Apa-apa pun hal yang kita nak lakukan, bertanyalah pada mereka yang pakar.

Mereka yang mungkin lebih tahu dari kita.

Namun, bertanya saja tidak mencukupi.

Cuba pula dengan USAHA 'cari dan gali'.

Cari dan gali yang dimaksudkan sangat luas.

Mungkin mencari maklumat mengenainya melalui INTERNET, BUKU, MAJALAH, RAKAN-RAKAN dan sebagainya.

Tapi, kalau sampai akhirnya masih belum lagi menemui jawapan.

KEMBALILAH pada ALLAH S.W.T.

Dia adalah sebaik-baik PENOLONG, sebaik-baik TEMPAT bergantung.

Mohonlah agar diberikan PETUNJUK.

InsyaAllah, ada jalannya.

Pertolongan Allah itu mungkin tidak datang terlalu CEPAT dan mungkin juga tidak datang terlalu LAMBAT, tetapi pertolongan Allah itu selalu datang pada saat yang TEPAT.

Ketika Allah merindui akan hambanya, Allah akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian. Dalam hadis Qudsi Allah berfirman; "Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."[Hadis Riwayat Thabrani dari Abu Umamah]

Sunday, July 28, 2013

3 Hari 2 Malam

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Sekarang saya dalam perjalanan untuk balik ke rumah di Indah Permai. Selepas bermalam di Putatan selama 3 hari 2 malam, sudah tiba masanya untuk pulang walau hati terasa berat.

Banyak pengalaman yang saya dapat selama 3 hari ni. Baik mahupun buruk, semuanya saya terima. Jujur saya katakan, sekarang saya menjadi lebih tenang. Tenang disamping rakan baik yang dihantar Allah s.w.t untuk membantu saya sedikit demi sedikit dalam penghijrahan ini.

Benarlah kata-kata yang saya selalu dengar.

"Bila kita nak berubah jadi baik, Allah akan hantar orang-orang yang baik bersama kita."

Sentiasalah berdoa memohon pada Allah s.w.t untuk temukan kita dengan orang-orang yang baik. Biasalah, kita ni manusia biasa yang selalu lupa. Jadi, perlu sangatlah kita orang lain untuk sentiasa mengingatkan kita. Pendek kata, saling ingat mengingati. Macam lagu Opick.

"Meski ku rapuh, dalam langkah. Kadang tak setia kepada-Mu"

Dah nak sampai dah. Penat tu mestilah ada. Tapi puas hati sebab pengalaman 3 hari 2 malam ni sangat bermakna. Tak semua dapat merasakannya. Alhamdulillah.

Jumpa lagi ^^

Friday, July 26, 2013

Ramadhan Terakhir

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Sekian lama tak menulis, tetiba rasa kekok nak mencari ayat pendahuluan.

Apa khabar anda yang sedang membaca? Puasa macamana? Baca al-Quran dah juzuk berapa? Wah kemain tanya soalan. Macam ustazah dekat sekolah pun ada :)

Tapi betul lah. Ada tak kita cuba bandingkan puasa kita tahun ni dengan puasa tahun lalu? Semakin baik atau sebaliknya?

Yelah, kalau tahun lalu aktiviti ibadahnya sikit, macamana pula dengan tahun ni? Makin bertambah atau sebaliknya? Atau juga, sama saja tak ada perubahan?

Allah... Marilah kita muhasabah diri balik.

Sedih rasanya bila bulan ramadhan ni belum lagi sampai pertengahan, tapi lagu raya dah galak dipasang dimerata tempat. Seolah-olah syawal lah bulan yang ditunggu-tunggu padahal ramadhan tak sampai pun lagi sebulan.

Sepatutnya, di bulan ramadhan ni lah kita sibuk nak perbaiki diri mensucikan hati yang selama ini penuh dengan dengki, sakit hati, iri hati. Kalau bulan sebelum-sebelum ni tak pernah lagi baca ayat al-Quran, bawa-bawalah buka balik.

Ramadhan ni takkan datang berkali-kali dalam setahun. Siapa tahu ini adalah ramadhan terakhir kita?

Wednesday, July 17, 2013

Sayang Nak Tayang

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Saya dah lama ada facebook. Dulu-dulu lagi. Masa tu saya bukan macam yang sekarang ni. Dulu saya salah seorang dari 'mereka' yang gemar upload gambar sendiri masuk dalam facebook. Tak cukup dengan tu, rajin pula tukar gambar profile.

Motif? :D

Tapi tu dulu. Sekarang saya dah sedar. Sayang betul nak tayang gambar sendiri untuk ditatap oleh orang lain. Betul ...

Kalau orang dulu-dulu, datang rumah kita, tanya mana album, sebab nak tengok gambar-gambar kita. Kalau tak pun, mereka akan minta izin kita nak tengok album gambar tu.

Tapi sekarang, orang masuk akaun facebook kita, buka album suka hati mereka, tengok gambar-gambar kita yang ada 150 juta posing yang berbeza, tak minta izin pula, Allah :'(

Sayangnya nak tayang gambar dekat orang yang kita tak kenal. Kena tatap dari atas sampai bawah pula tu. Kalau keluarga tak apa. Ni entah siapa-siapa pun kita tak tahu. Aduh :(

Lagi parah kalau orang yang tengok tu ada penyakit hati. Membayangkan yang bukan-bukan bila tengok gambar yang tak cukup syarat tu.

Saya tak kata berdosa kalau upload gambar. Ustaz Azhar Idrus pun ada kata, nak letak gambar biar dengan saiz yang kecil saja. Tak usahlah diletakkan gambar yang dari atas sampai ke bawah pose nya.

Kalau bukan kita yang hargai diri kita, siapa lagi?

Masih belum terlambat untuk kita buang gambar-gambar kita yang TAK PAKAI TUDUNG, PAKAI BAJU KETAT, BUAT MIMIK MUKA TAK ELOK, POSING TAK SENONOH, GAMBAR BERDUA DENGAN BOYFRIEND.

Buanglah gambar-gambar macam tu. Tak ada yang mendatangkan manfaat pun melainkan keburukan. Renung-renunglah balik diri. Tu semua tipu daya syaitan yang menggoda para wanita.

Semoga kita dijauhkan dari hal yang sedemikian rupa ...

Friday, July 12, 2013

Kematian

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Masih terngiang-ngiang kejadian malam tu. Malam penghayatan. Malam muhasabah diri. YA ALLAH :'(

Rasa bersyukur kerana Allah telah memilih diri ini untuk menjadi salah seorang dari mereka pada malam itu. Malam penghayatan yang berbeza dari malam-malam penghayatan yang pernah saya hadiri.

Takkan sama apa yang saya ceritakan dengan apa yang saya alami pada malam itu. Semuanya kemas tersimpan rapi dalam ingatan dan hati ini.

MATI!!


Panas Menutup Aurat

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Dah lama saya 'mengidam' jaket labuh. Bila survey harga-harganya. Aduh! Pengsan dibuatnya. Saya tak hairan jugalah. Itu jaket, bukan baju kurung. Jaketnya pun bukan yang pendek, labuh pula tu. Hehe.

Tapi alhamdulillah. Mungkin rezeki agaknya. Ada seorang kawan yang hadiahkan pada saya jaket macam yang saya harapkan tu. Yelah, mungkin bukan SAMA macam yang saya idamkan. Tapi ciri-cirinya tetap ada. Warna gelap, labuh, sudah cukup bagi saya.

Saya guna jaket ni lapis dengan baju kurung yang saya pakai.

Ada juga kawan tanya. Tak panas ke? Yelah, pakai jaket siang-siang hari. Macam buang tebiatlah pula. Saya geleng. Tak. Tak panas. Saya selesa.

Sama macam pakai tudung labuh. Tak panas ke pakai tudung besar? Macam khemah berjalan. Jawapan saya masih sama. Dah terbiasa. Jadi, istilah panas tak wujud.

Saya pakai tudung labuh, berpeluh. Yang tak pakai tudung pun masih nampak ada peluh. Jadi apa bezanya?

Itu pandangan saya. Panas itu bukan jadi masalah.

Yang jadi masalahnya adalah apabila seorang muslim yang sudah baligh namun masih tidak mahu menutup aurat mereka sedangkan itu adalah suruhan ALLAH S.W.T.. -kata sahabat saya

Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 59: "Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang"

Wednesday, July 10, 2013

'Binnabil Huda' Menyentuh Hati Mereka

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum. Pertama sekali, izinkan saya menyusun 10 jari memohon maaf pada blogger yang belum sempat saya singgah blognya. Banyak sangat halangan. Biasalah, saya bukan lagi full-time blogger yang dapat menghadap blognya setiap hari. Masa saya sekarang lebih tertumpu pada pelajaran. Blog ni pun saya update kalau berkesempatan saja.

Sebelum membebel panjang, selamat menyambut ramadhan al-mubarak. Senyum.

Balik pada cerita yang saya nak kongsikan.

Akhir-akhir ni hati saya terpaut dengan lagu 'Binnabil Huda' dari kumpulan UNIC. Pertama kali dengar, memang dah jatuh hati. Saya pun apalagi, carilah lagunya. Lepas dapat, terus pasang hari-hari.

Saya cari versi arabic dengan versi melayu. Dua-dua pun saya suka.

Memandangkan saya pasang lagu tu hampir setiap hari, kawan-kawan sebilik yang mendengar pun sampai hafal liriknya. Yelah, dah terbiasa dengar kan. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya mereka dengar lagu yang baik.

Binnabil huda Ya Rasulussalam
Wayamursala rahmatan lil anam
‘Alaikassolatu wa’alaikassalam
Wasohbika wattabi’inal kirom

Dengan Nabi yang membawa hidayah
Wahai utusan rahmat sekalian alam
Selawat salam pujian untukmu
Para sahabat juga tabi’in yang mulia.

Binnabil huda nahnu jundul huda
Sanabqi ‘alal ‘ahdi tulul mada
Bazzhalnaddima wartadhoinar-roda
Li nashril huda Ya Rasulussalam

Dengan Nabi yang membawa hidayah
Kami sambung perjuangan sucimu
Berkorban jiwa raga untuk agama
Janji taat setia selamanya

Ya Mustofa Rasullallah
Ya Sanadi Ya Sayyidi

Wahai yang Terpilih, Utusan Allah
Kau sandaranku, Pemimpinku

Sollu..Sollu, sollu, sollu..
Allahumma solli wassallim ‘ala sayyidina Muhammad wa aalihi Muhammad
Allahumma solli wassallim ‘ala sayyidina Muhammad wa sohbihi Muhammad

Mari selawat beramai-ramai
Ya Allah, selawat atas baginda Muhammad, dan keluarganya
Ya Allah, selawat atas baginda Muhammad dan para sahabatnya.

Binnabil huda nahnu jundul huda
Sanabqi ‘alal ‘ahdi tulul mada
Bazzhalnaddima wartadhoinar-roda
Li nashril huda Ya Rasulussalam

Dengan Nabi yang membawa hidayah
Kami sambung perjuangan sucimu
Berkorban jiwa raga untuk agama
Janji taat setia selamanya

Ya Shafi’ie Khuz biyadi
Ya Rasullallah, Habiballah
Huwal Hadil Basyir

Wahai yg memberi syafaat ambil/pegang tanganku,
Pesuruh Allah, Kekasih Allah,
Dialah petunjuk, dialah pemberi khabar gembira.

Sollu,sollu, sollu, sollu..
Allahumma solli wassallim ‘ala sayyidina Muhammad wa aalihi Muhammad
Allahumma solli wassallim ‘ala sayyidina Muhammad wa sohbihi Muhammad

Mari selawat beramai-ramai,
Ya Allah, selawat atas baginda muhammad, dan keluarganya,
Ya Allah, selawat atas baginda muhammad dan para sahabatnya.

Shafi’una..shafi’una..shafi’una..shafi’una..
Wahai yg memberi syafaat,
Rasulallah..
Habiballah..
KeNabiyallah..
Sofiyallah,
Pesuruh Allah,

Ya Allah, selawat atas baginda muhammad, dan keluarganya
Ya Allah, selawat atas baginda muhammad dan para sahabatnya
Ya Allah, selawat atas baginda muhammad, dan keluarganya


Bukan mudah untuk mengajak orang melakukan kebaikan. Tapi kita boleh berusaha untuk menunjukkan kebaikan agar terbuka hati mereka untuk sama-sama melakukannya.

Monday, July 8, 2013

Di Mana Islam dalam HATI Kita?

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum. Apa khabar? Harap semuanya dalam keadaan yang baik. Solat tak tinggal, amalan baik sentiasa diperbaiki dan bertambah dari masa ke semasa.

Alhamdulillah. Selepas 'bergelut' selama 3 hari 2 malam, akhirnya Bengkel Asas Membina Insan (BASMI) berjaya juga ditamatkan dengan membawa pengalaman dan seribu kenangan manis bersama mereka yang terlibat dengan program ini.


Hati yang Berbagi Antara YA atau TIDAK
Pada mulanya, hati saya memang berbelah bagi samada untuk menerima jemputan ke program ini atau tidak kerana mereka telah meminta saya untuk menjadi salah seorang FASILITATOR kepada peserta-peserta. Saya agak keberatan kerana saya tidak pernah ada pengalaman menjadi fasilitator ni. Saya bimbang andai amanah yang diberikan tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Malam sebelum program bermula, saya sudah NEKAD untuk menolak jemputan tersebut. Tapi lain pula yang berlaku pada keesokan harinya. Mendengar kata-kata dari kawan-kawan membuatkan hati saya berubah dengan mendadak! Mereka tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat untuk saya menerima saja jemputan tersebut. Dan akhirnya, hati saya terbuka kembali untuk menyumbangkan sedikit usaha dalam program BASMI ini.

Ujian Perkara Biasa
Bila kita hendak melakukan sesuatu yang baik, tidak lengkap rasanya kalau tidak diberikan ujian. Dan ya, saya juga menerima ujian dari Allah s.w.t. Mungkin untuk menguji sejauh mana kecekalan hati ini.


Kami harus berjalan kaki untuk naik ke pusat Islam ini. Jujur saya katakan, untuk sampai ke sini tidaklah semudah yang disangkakan. Dalam gambar yang saya tunjukkan di atas hanyalah sebahagian saja. Masih ada lagi jalan-jalan yang perlu ditempuhi sebelum sampai ke sini. Untuk sampai ke pintu utama pusat Islam, kami harus melalui tangga ini.

Saya masih ingat lagi, dulu sewaktu saya di semester 1. Ada program yang dilakukan di Pusat Islam ini. Bila saya naik tangga (seperti dalam gambar di atas), saya pitam. Mungkin tak biasa. Tiba-tiba saya sesak nafas. Tapi itu dulu lah. Dah lama. Sekarang dah biasa.

Cuma, kali ni saya kena naik tangga ni lagi dengan membawa barang-barang yang akan digunakan ketika bermalam di sana. Memang cabaran buat kami. Tapi alhamdulillah, dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah s.w.t. sampai juga kami ke destinasi.

Ujian dari Para Peserta
Saya telah dimaklumkan bahawa seramai hampir 300 orang pelajar akan mengikuti program ini. Muslimin 100 lebih dan muslimat 200 lebih (anggaran saja). Tapi mendukacitakan sekali bila yang datang hanya seramai berapa puluh orang saja. Muslimat dalam 40 orang dan muslimin mungkin dalam 20 orang atau kuranglah macam tu.

Memang sedih sangat bila program keagamaan macam ni kurang mendapat sambutan dari pelajar-pelajar. Saya bukan hendak menyalahkan pelajar semata-mata kerana sebenarnya, pada hari program ini berjalan, ada beberapa program lain lagi yang sedang dilaksanakan. Jadi ini membuatkan pelajar HARUS memilih antara yang wajib diikuti dengan tidak.

Bukan itu saja. Dengan kesungguhan para AJK, mereka sanggup turun ke bilik-bilik pelajar dan memanggil mereka yang tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti untuk menghadirkan diri ke program ini. Malangnya, pelajar yang tidak mahu mengikut program ini sanggup mengatakan mereka bukan ISLAM! ALLAHUAKHBAR. Menggelatar saya bila mendengar hal macam ni. Sampai begitu sekali??

Walaubagaimanapun, mahu atau tidak, kami tetap meneruskan program ini walaupun kekurangan peserta.

Sepanjang Program Basmi
Alhamdulillah, sepanjang program dijalankan. Kami tidak menghadapi sebarang masalah yang besar. Kecil-kecil itu, biasalah. Syukur kerana semuanya kuat menghadapi ujian dari Allah s.w.t.

Banyak perkara yang membuatkan mata dan hati saya terbuka. Benarkah generasi sekarang sudah tidak mementingkan soal agama? Ya Allah... Di manakah kedudukan agama Islam yang indah ini di hati kita?

Bila saya melihat keadaan sekeliling, hati saya jadi sedih. Cubalah renung diri kita, pandang keadaan sekeliling. Apa benar islam bukan lagi menjadi KEUTAMAAN???

Tuesday, July 2, 2013

Senyum Menerima Ujian

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Seringkali diri mendengar keluhan ini.

Aku merasakan aku adalah orang yang paling malang sekali. Hidup yang aku tempuhi terasa begitu berat untuk aku pikul. Kadang, aku merasa lelah untuk meneruskan perjalanan. Ujian yang datang ku anggap musibah yang maha hebat. Sehingga akal yang cetek sentiasa berharap agar nyawa ini segera diambil kerana tidak menahan menanggung peritnya jalan kehidupan. Hari demi hari berlalu. Aku masih bernafas. Sesekali aku berfikir. Kenapa sehingga kini aku masih ada di muka bumi ini?

Allahu Allah! Cepat beristighfar. Moga Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa kita yang banyak bertimbun. Entah sempat, entahkan tidak menebus kesemuanya. Air mata bergenang bila teringatkan dosa yang dilakukan. Mujur masih diberi kesempatan untuk mencari bekalan.

Ujian itu bukan diberikan pada kita seorang. Tapi setiap manusia yang ada di muka bumi ini turut menerima ujian. Makin hebat ujian yang diterima, makin insaf diri ini memikirkan betapa kasihnya Dia pada kita sehingga diberikan ujian sehebat itu.

InsyaAllah, kalau kita bersangka baik. Setiap yang susah pasti kita akan rasa senang. Tanpa sedar hati akan jadi lebih kuat.