Monday, July 18, 2016

Salah alamat hantar cek Nuffnang. Macamana?

Sebenarnya, saya teruja menunggu cek dari Nuffnang yang saya dah cashout hujung bulan lepas. Tapi, tertanya-tanya pula saya. Cek masih belum sampai walaupun sudah lebih dari sebulan. Hampir setiap hari saya bertanya pada suami jika ada surat yang sampai. Namun hampa. Saya cuba bersabar.

Hari ini, terjawab soalan saya. Tiba-tiba terdetik pula dalam hati untuk melihat jika benar alamat yang saya berikan. Satu persatu saya periksa. Sehinggalah mata saya menangkap sesuatu. Aduh! Kecewa. Rupa-rupanya di ruangan CITY, saya terlupa untuk mengubahnya.

Sebelum ini saya menggunakan alamat lain. Tapi selepas berkahwin dan tinggal bersama suami. Saya mengubah alamat tempat tinggal. Namun sayang seribu kali sayang. Ada bahagian yang saya cuai. Buntu sekejap saya jadinya.

Lalu saya membuat keputusan untuk menghantar tiket yang mengandungi soalan pada pihak Nuffnang. Walaupun English saya agak kurang, saya tetap mencuba. Soalan saya lebih kurang berbunyi begini selepas saya terjemahkannya ke dalam bahasa Melayu,

"Saya telah membuat pengeluaran pada hujung tahun lepas. Tapi baru saya sedar pada hari ini, ada kesalahan di bahagian bertulis CITY. Saya telah mengubah alamat tempat tinggal. Kecuaian saya ialah, saya tidak mengubah butiran di bahagian CITY berkenaan. Apakah yang akan terjadi pada cek itu? Mohon pihak Nuffnang dapat menjawab soalan saya serta merta. Terima kasih."


Sunday, July 17, 2016

Lewat 10 hari. Mengandungkah aku?

Aku mengambil masa yang agak lama sebelum membuat keputusan untuk menulis semula di blog. Alasan paling mudah, malas. Itu pun selepas aku sudah cashout $$ dari Nuffnang hasil berblog selama beberapa tahun. Tunggulah cek sampai dulu barulah aku boleh canang satu dunia.

Sebelum ini, aku pernah juga menceritakan kisah yang mana period aku lambat beberapa hari. Perkara biasa bagi wanita yang sudah berkahwin. Bila period mula lewat, pasti akan menimbulkan satu tanda tanya dalam hati masing-masing. Aku juga tidak terkecuali.

Itu bulan pertama setelah aku dan suami sah menjadi pasangan suami isteri. Pada waktu itu, seingat aku mungkin sudah lewat enam hari. Ini kerana, sebelum aku berkahwin. Kitaran haid aku normal. Malah kadang lebih awal dari yang dijangkakan.

Jadi, bila tiba-tiba lewat. Aku mula menyangka mungkin aku berbadan dua. Ditambah pula dengan beberapa simptom wanita mengandung yang aku alami. Hati seolah-olah yakin mengatakan aku hamil. Tak usah ceritalah berapa banyak alat menguji kehamilan yang sudah ku beli. Namun yang peliknya hanya negatif yang aku terima. Mungkin bukan rezeki. Selepas beberapa hari, akhirnya 'tembus' juga. Aku redha.

Menurut cerita yang aku dengar, hormon wanita selepas berkahwin akan mula berubah. Entah benar atau tidak, aku juga tidak pasti. Atau mungkin juga aku terlalu memikirkan hal itu kemudiannya menjadi punca stress secara perlahan-lahan. Siapa tahu? Ini kerana, wanita yang hamil tidak boleh terlalu tertekan atau ianya akan memberi kesan buruk pada kandungan. Tapi bagi aku, biarlah. Mungkin Allah tahu belum masanya untuk aku dan suami menerima cahayamata.

Suamiku berasal dari keluarga yang besar dan meriah. Atuk sudah meninggal dan yang tinggal hanya nenek. Suamiku boleh dikatakan anak lelaki pertama yang berkahwin dalam keluarga besarnya. Tahu sajalah bila sudah menjadi harapan ini bagaimana. Aku sering menerima soalan yang sama setiap kali pulang ke kampung.

"Sudah berisikah?"

Aku tidak berkecil hati dengan soalan mereka. Aku faham. Mereka sudah lama tidak bermain dengan anak kecil. Pastinya mereka ingin mendengar bunyi riuh rendah dari suara bayi. Lebih-lebih lagi bapa, mak dan nenek di sebelah suami aku. Almaklum sajalah. Suamiku anak sulung. Mereka pula hanya ada dua beradik saja. Pasti rasa sunyi kadang menerjah.

Bukan aku dan suami tidak berusaha, tapi mungkin belum rezeki. Syukur alhamdulillah suami juga memahami. Kadang, dia sendiri yang kepuasan menerangkan pada ahli keluarga yang asyik bertanyakan perihal aku sudah mengandung atau tidak. Hanya senyuman mampu kuberikan.

Kini sudah masuk bulan kelima selepas aku dan suami menjadi pasangan yang sah. Dan ini juga merupakan kali kedua di mana period aku agak lewat menjengah. Termasuk hari ini, sudah 10 hari aku kelewatan. Tapi berbeza dari yang dulu, kali ini tiada simptom-simptom wanita mengandung yang aku alami. Jadi, untuk merasa aku sedang hamil. Memang jauh sekali. Tapi tetap berharap.

Jujur aku katakan. Bila lewat sehari saja, perasaan aku mulai berubah. Mungkin ada harapan selepas aku menerima rawatan tempohari? Entahlah. Sukar untuk aku memberikan jawapan yang pasti. Dari hari ke hari, aku semakin tertanya-tanya. Dan setiap kali aku membuang air kecil, pasti aku berdebar berharap janganlah ada apa-apa spot.

Disebabkan tidak ada rasa kesabaran. Pada hari ketujuh lewat, aku cuba melakukan ujian kehamilan. Dan benar tekaanku. Ianya negatif. Aku tidak mengandung. Tapi mengapa masih lewat? Aku cuba mencari jawapannya di Google. Ada yang mengatakan, sebaiknya ujian kehamilan dilakukan selepas lewat dua minggu. Namun, ada juga wanita yang boleh mengesani kehamilan mereka walaupun baru lewat sehari.

Macam-macam yang bermain di fikiranku. Sakitkah aku? Ibu antara orang yang sentiasa update tentang kitaran haid aku. Bila aku memberitahu perihal kelewatan haid yang sudah masuk 10 hari, dia meminta aku untuk diam dan bersikap bersahaja. Bila sudah masuk hari ke-12 dan aku masih lewat, ibu menyuruh aku untuk membuat pemeriksaan di klinik.

Aku juga berfikiran sedemikian. Sekalipun belum ada rezeki untuk melalui fasa menjadi seorang ibu, sekurang-kurangnya aku sihat dari apa-apa sakit. Jika masih lewat hampir dua minggu, keputusan UPT juga negatif. Apakah yang sedang berlaku? Semoga semuanya baik-baik saja.

InsyaAllah. Aku akan kembali bila ada perkembangan terbaru.

UPDATE! Sila baca entri yang bertajuk 'Akhirnya aku mengandung!'
posted from Bloggeroid