Temujanji 1: Buat Buku Rekod Kesihatan Ibu


Selepas melakukan pengesahan kehamilan seperti yang aku ceritakan dalam entri 'Akhirnya aku mengandung' Nurse memberikan tarikh temujanji yang pertama iaitu pada 09/08/2016.

Aku diminta untuk datang awal pagi pada 09/08/2016. Lebih kurang jam 8 pagi, aku dan suami sampai di klinik. Syukur alhamdulillah, aku tidak perlu menunggu lama untuk berjumpa nurse. Memandangkan ini temujanji yang pertama, nurse akan meminta butiran diri klien iaitu aku sendiri serta suami. Jadi, selepas ini aku hanya akan menggelarkan diri aku sebagai klien dan bukan pesakit. Butiran-butiran itu diperlukan untuk dimasukkan ke dalam buku rekod kesihatan ibu.

Dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan klien, kad pengenalan suami, sijil nikah, dan gambar klien serta suami yang berukuran passport akan diminta ketika membuat buku rekod. Setiap dari dokumen itu memerlukan dua salinan setiap satu termasuk gambar klien dan suami. Ini kerana, ada dua buah buku rekod yang akan dibuat. Sebuah untuk klien itu sendiri yang mana ianya perlu dibawa setiap kali temujanji dan sebuah lagi untuk salinan mereka di klinik sebagai rujukan.

Selesai memberikan butiran yang diperlukan, nurse meminta aku untuk berbaring di sebuah tempat bertutup. Ketika ini, aku agak kekok. Tapi nurse yang bersama aku alhamdulillah baik dan mesra orangnya. Jadi, aku boleh tepis sedikit rasa malu dan fokus mendengar apa yang diajarkan oleh nurse. Di dalam bilik tertutup ini, nurse akan mengajar cara untuk memeriksa payudara klien. Bimbang sekiranya ada ketulan yang tidak diingini. Alhamdulillah. Selepas memeriksa beberapa kali, tiada ketulan yang dikesan. Nurse memesan aku untuk melakukan pemeriksaan itu sendiri di rumah sekurang-kurangnya sebulan sekali. Betulkan jika aku salah.

Sewaktu aku hendak bangun dari pembaringan, nurse menegur dan mengatakan cara untuk bangun ketika hamil juga harus diubah. Bila sedang baring menelentang, mengiringlah dahulu dan barulah perlahan-lahan untuk bangun. Jangan sesekali bangun bila sedang baring menelentang. Bahagian pinggang akan sakit.

Bila nurse berkata, "sudah". Aku mulai tertanya dalam hati. Tiada pemeriksaan perut? Aku memberanikan diri untuk bertanya pada nurse.

"Macamana nak tahu anak dalam perut saya ni sihat nurse?" soalku.

"Sekarang ni kandungan masih kecil. Kalau kita scan pun, memang kurang jelas."

Aku akur dengan jawapan nurse walaupun sebenarnya jawapan tersebut tidak dapat memuaskan hati aku.

Seterusnya, nurse akan mengambil berat badan dan mengukur ketinggian klien. Ini kerana, ketinggian ada kaitan dengan saiz pelvik. Sekiranya saiz pelvik kecil, kemungkinan memberi kesan terhadap kelahiran normal. Aku agak risau sebenarnya kerana aku juga boleh dikatakan rendah. Tapi selepas diukur, nurse menyebut ketinggian aku. 154cm. Aku sedikit lega.

Kemudian, kami beralih ke bahagian timbang berat badan. Berat aku hanya 42.5kg. Itupun selepas mendengar kata-kata nurse yang diikuti dengan nada tidak percayanya.

"42.5kg jeeeeeee?"

Aku hanya tersengih. Kami kemudiannya masuk semula ke dalam bilik nurse.

"Lepas ni, saya bagi borang untuk ambil darah. Suami pun kena ikut ambil sekali untuk test HIV ni ye."

Syukur suami ada ikut bersama. Mengikut dari apa yang nurse kata, sebelum ini suami tidak perlu ambil darah. Hanya ibu mengandung sahaja. Tapi baru-baru ini, arahan untuk suami membuat pemeriksaan HIV telah keluar. Mahu atau tidak, suami harus ikut serta. Demi keselamatan bersama.

Aku menunggu agak lama untuk mengambil darah. Perut pula sudah mulai berkeroncong lapar. Tapi suami menyuruh bersabar. Bimbang terlepas giliran katanya. Aku akur. Nasi kuning bermain-main di ruang fikiran. Penangan lapar agaknya.

Ketika sampai giliran aku, jantung mulai berdebar. Aku antara manusia yang agak gerun untuk dijarum. Padahal, sakitnya tidaklah terlalu. Aku saja yang mengada-ngada. Aku menyuakan lengan sebelah kiri. Ketika nurse sedang mengeluarkan jarum dari bungkusan, aku berpaling muka. Langsung tidak mahu melihat bagaimana proses jarum menjarum itu berlaku.

Setelah aku yakin nurse selesai dengan tugasnya, aku berpaling semula.

"Sebelah kiri ni sensitif ye. Balik nanti sapu ais supaya tak bengkak." Pesan nurse.

Aku hanya mengangguk.

"Dah kan nurse?" soalku untuk mendapatkan kepastian sambil menekan kapas yang diletakkan pada lengan kiriku selepas dijarum.

"Belum lagi. Kita kena jarum sebelah kanan sebab tak dapat jumlah darah yang cukup sebelah kiri ni,"

'Whattttt????' jeritku dalam hati. Jarum sekali lagi? Ingin saja aku menangis waktu itu.

Tanpa rela, lengan kananku diambil oleh nurse. Sekali lagi aku membuang muka. Tidak mahu melihat proses itu. Aku pasrah. Syukur. Kali ini barulah dapat aku mendengar perkataan "okey sudah" dari nurse berkenaan. Di lengan kiri dan kanan diletakkan kapas untuk memberhentikan darah dari keluar.

Di temujanji yang pertama ini, ujian air kencing akan dilakukan sekali lagi. Tanpa menunggu keputusan darah, aku segera ke tandas. Pesan nurse, ambil sampel sewaktu dipertengahan proses. Selepas selesai, aku terus membawa bekas yang berisi urine ke bilik nurse. Aku diminta untuk memegang bekas tersebut sementara nurse memasukkan strip yang aku sendiri tidak tahu apa tujuannya selama beberapa saat. Tiada apa-apa komen yang aku dengar dari nurse. Aku hanya disuruh untuk menunggu di luar bilik sehingga dipanggil semula.

Tidak lama kemudian, nurse keluar dan memanggil namaku.

"Kamu pergi sarapan dulu ye. Keputusan darah tu ambil masa yang lama. Lepas makan nanti, tunggu semula depan bilik ni."

Nurse seolah-olah faham akan diri ibu yang lagi sedang menahan lapar ini. Lalu, aku dan suami menuju ke kantin yang berdekatan. Tekak teringin benar untuk makan nasi kuning berlaukkan sambal ikan tongkol atau kayu. Syukur masih ada menu tersebut.

Di pertengahan suapan nasi, telefon bimbitku berdering.

"Hello," sapaku.

"Fatihah, kamu di mana?"

Suara itu seakan aku kenal.

"Saya tengah makan nurse. Tapi dah nak siap dah ni,"

"Nanti terus masuk bilik okey," pesan suara itu lagi.

Usai makan, aku segera ke bilik yang dikatakan nurse tadi.

"Haa Fatihah. Duduk sini. Keputusan darah dah sampai."

Aku hanya diam untuk memberi ruang pada nurse meneruskan penjelasannya.

"Darah kamu rendah Fatihah. 7.6 sahaja," kata nurse sambil membelek kertas di hadapannya.

Dan aku masih tidak berkata apa-apa.

"Kamu tak ada rasa pening? Rasa nak pitam? Pengsan?" soal nurse bertubi-tubi.

"Tak ada," balasku ringkas. Aku langsung tidak merasakan semua yang dikatakan nurse tersebut.

"Rasa letih? Takda?" sambung nurse menyoal siasat.

"Yang letih tu ada. Akhir-akhir ni saya cepat rasa penat. Lelah, mengantuk."

"Kamu kena jumpa doktor ni," sambil nurse menulis sesuatu di atas kertas.

"Mari ikut saya,"

Tanpa membantah atau menyoal apa-apa, aku hanya mengikut nurse keluar dari bilik tersebut.

"Kamu tunggu sini," arah nurse itu lagi. Ada sebuah kerusi di situ dan aku terus duduk walau tanpa disuruh.

"Lepas jumpa doktor, kamu jumpa saya balik di bilik 6 okey," pesan nurse sebelum dia keluar dari situ.

Belum pun panas punggung duduk, namaku dipanggil oleh seorang doktor lelaki. Aduh. Ingin sekali aku mengelak dari bertemu mana-mana doktor lelaki. Aku kurang selesa sebenarnya.

"Darah kamu rendah Fatihah," kata doktor sambil matanya masih meneliti kertas yang dipegangnya.

Ayat yang sama juga aku dengar. Tapi aku tetap berdiam menunggu kata-kata seterusnya. Kemudian doktor menyuruh aku melakukan beberapa perkara. Aku mengikut sahaja tanpa bersuara.

"Kamu kena check darah sekali lagi. Saya nak tau apa punca darah kamu kurang. Tapi kena pergi klinik swasta lah. Berbayar," panjang lebar doktor menjelaskan.

Aku sekadar mengangguk tanda faham.

"Borang ni kamu kena bawa semasa pergi ambil darah di klinik swasta tu. Kamu boleh pergi antara dua klinik yang saya cadangkan ni. Kalau nak bandingkan harga pun boleh,"

Selepas mengucapkan terima kasih pada doktor berkenaan, aku keluar dari bilik tersebut dan terus ke bilik 6 seperti yang disuruh nurse tadi. Sebelum masuk, aku mengetuk pintu perlahan. Tanda hormat.

"Masuk Fatihah, mari duduk sini." Panggil nurse lembut.

"Doktor ada cakap apa-apa?" soal nurse.

Aku menceritakan pada nurse seperti apa yang doktor terangkan padaku tadi.

"So, next appointment kamu 23/08/16 pada jam 2 petang. Kamu kena bawa sekali keputusan darah yang kamu ambil dari klinik swasta tu,"

Aku mendengar sahaja apa yang dikatakan nurse. Sesungguhnya, aku adalah klien yang tidak banyak rencahnya.

"Lepas ni kamu pergi farmasi dan ambil ubat,"

Akhirnya selesai urusan di klinik pada hari itu. Ianya mengambil masa yang agak lama juga. Kalau mengikut anggaranku, ada lebih kurang 4 jam lebih aki berurusan termasuk menunggu giliran mengambil ubat di farmasi.

Temujanji pertama ini boleh dikatakan agak panjang juga prosedurnya. Itu perkara biasa. Tapi tidak mengapa. Tiada apa yang aku kejarkan.

Jadi, temujanji yang seterusnya pada 23/08/2016 pada jam2 petang. Jumpa nanti :)

Previous
Next Post »