Dari Mata, dengan Izin Allah S.W.T

Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Penat berjalan membuatkan aku mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Ajakan teman-teman untuk keluar mencari baju ku sambut dengan baik. Tapi belum pun lama berjalan, aku mulai merasa lemah. Mujur ada tempat duduk yang disediakan.

"Insyirah, jom masuk," ajak sahabatku yang bernama Aina.

Aku menggeleng. "Takpelah Aina. Aina masuklah. Syirah tak larat. Syirah tunggu dekat luar je eh," kataku.

Aina faham. Aku melihat Aina sehingga kelibatnya hilang masuk ke dalam kedai tudung tersebut. Teman-temanku yang lain juga sedang sibuk mencari keperluan masing-masing. Aku pula, lebih memilih untuk merehatkan diri bila barang yang ku cari tidak aku temui.

Sedang asyik melihat keadaan sekeliling, mataku tertumpu pada satu kumpulan muslimah yang lengkap bertudung labuh baru keluar dari kedai yang sama Aina masuk tadi. Ada juga antara mereka yang mengenakan purdah pada wajahnya. Aku senyum sendiri.

Bimbang dikatakan memerhati, cepat-cepat aku larikan pandangan dari terus melihat mereka. Aku tunduk memandang ke lantai. Peluh di dahi mulai hilang tapi panasnya masih lagi terasa. Namun begitu, aku tetap merasa tenang dan selesa walau ada sehelai kain yang menutup sebahagian wajahku.

Kumpulan muslimah tadi sudah hampir dengan tempat di mana aku duduk. Tepat masanya terpandang mereka, aku memberikan satu senyuman. Seolah-olah memahami, mereka membalas senyumanku. Termasuk muslimah yang mengenakan purdah tadi. Matanya sedikit mengecil tapi aku yakin dia sedang tersenyum ke arahku.

Saat mereka lalu di hadapanku, muslimah yang berpurdah itu seakan-akan terus memerhatikan aku. Sangkaku, mungkin dia juga memikirkan hal yang sama seperti apa yang aku sedang fikirkan. "Kita sama." Aku juga membalas pandangannya. Pandangan yang bukan sekadar memandang. Tapi ada sesuatu yang lain.

Dengan keberanian yang ada, aku bangun dari tempat duduk dan menghampiri kumpulan muslimah berkenaan.

"Syirah ke ni?" muslimah berpurdah itu bertanya.

"Aisyah?" aku menyoal semula tanpa menjawab soalan yang diberikan.

"Allah ..." dia bersuara.

Hatiku berdebar.

"Syirah, ni Aisyah..." katanya lagi.

Aku terpaku sebentar. Terkejut dengan apa yang baru berlaku. Subhanallah. Maha suci Allah. Rupanya muslimah berpurdah yang ku perhati dari awal tadi adalah sahabat seperjuanganku dulu sewaktu kami sama-sama berada di sekolah menengah. Tapi dia telah berpindah di pertengahan tahun itu. Dan perpisahan kami langsung tiada ucapan selamat tinggal.

Sebenarnya, kami bukanlah kawan rapat. Biasa-biasa saja. Bila bertemu di sekolah, sekadar menyapa kemudian masing-masing membawa haluan sendiri. Tapi setelah hampir 6 tahun tidak bertemu, tanpa sebarang khabar mahupun berita. Kami akhirnya ditemukan dengan izin Allah s.w.t dalam keadaan masing-masing sudah berhijrah. Alhamdulillah.

Kami sama-sama mengenakan sehelai kain menutupi sebahagian wajah. Hampir 6 tahun tidak berjumpa. Tapi dengan izin-NYA, kami dipertemukan semula dan masing-masing punya naluri hati yang kuat bahawa kami saling mengenali. Sayu sungguh hati. Sungguh, Allah itu Maha Besar. Maha Mengetahui.

Hanya melalui mata saja, kami boleh mengenali. Kalau Allah berkehendak, tiada siapa yang boleh menghalang.

23 Julai 2013...

**Autopublish

Previous
Next Post »