Hidup Kadang Perlukan 'Perisa' Pahit

Seusai makan di dapur, aku bercadang untuk naik ke bilik mengambil komputer riba. Jarum jam di dinding hampir menunjukkan pukul 11 pagi. Masih awal getus hatiku. Hari ini aku hanya ada satu kelas. Itupun pada waktu malam.

Sudah tiga semester aku belajar di UiTM dan di semester empat inilah pertama kalinya aku mendapat jadual kelas pada waktu malam. Jadual sebeginilah yang paling aku gusarkan. Lebih-lebih lagi bila aku mendapat 'rezeki' untuk menjadi pelajar non-resident.

Kemudahan asrama bukan menjadi milikku semester ini dan aku harus menyewa tempat tinggal luar dari kampus. Tidak mengapalah. Aku harus bersangka baik dengan aturan-NYA. Mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan kemudahan asrama itu berbanding dengan aku.

Namun begitu, walaupun aku bersangka baik bukanlah bermaksud aku hanya akan melepaskan tangan dan menyerahkan segala-galanya pada Allah s.w.t tanpa melakukan sebarang usaha. Aku sedar, aku masih memerlukan kemudahan asrama kerana aku bukanlah berasal dari keluarga yang senang mahupun berada. Ibu dan ayah masih lagi perlu menanggung enam orang adik-beradikku yang lain. Jadi, tiada istilah mahu berfoya-foya dengan duit yang ada. Aku harus berjimat cermat!

"Kak, tak buat rayuan?" soal salah seorang sahabatku yang berpangkat adik kerana jarak umur kami yang berbeza.

"Eh, buat. Mana tau ada rezeki. Tak salah nak buat rayuan. Lagipun, seingat akak memang tak ada buat apa-apa kesalahan tingkahlaku pun semester lepas. Tak pastilah kalau akak yang terlepas pandang," balasku dengan sedikit penjelasan.

Aku sendiri tidak dapat memastikan apa punca sebenar permohonanku untuk mendiami kolej ditolak. Banyak desas-desus yang singgah di telingaku menjadi punca permohonan kolej gagal. Tapi tiada yang dapat aku terima. Tapi aku yakin, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma aku belum dapat melihat dan merasakannya. InsyaAllah, suatu hari nanti.

Jujur aku katakan. Hidup dengan menyewa tempat tinggal di luar dari kawasan UiTM memang mencabar. Bukan mudah. Kalau dulu masa tinggal di asrama, kehidupan hanya dikalangan pelajar-pelajar sahaja. Kini, bila aku sudah menyewa tempat tinggal di luar. Kehidupan mulai terasa lebih meluas sekaligus cabarannya juga berbeza. Hidup secara bermasyarakat yang berbilang kaum, berbeza umur, berbeza taraf.

Tinggal di luar tidaklah seronok. Tapi pengalaman tinggal di luar itulah yang menyeronokkan. Ianya mengajar aku untuk berdikari. Bahaya itu pasti ada. Kerana kehidupan bukan semudah yang disangka. Bukan juga kehidupan namanya andai tiada ujian yang tertimpa melainkan mendidik hati-hati kita untuk berpegang di tali Allah s.w.t.

Alhamdulillah. Setakat ini aku masih mampu bertahan. Entah esok entahkan lusa, aku berharap ujian yang mendatang akan mengajar aku untuk menjadi hamba-NYA senantiasa bersangka baik dengan setiap apa yang berlaku.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…     ( Al-Baqarah: 286)

Ya! Allah menguji seseorang kerana Dia tahu hamba-NYA itu mampu menghadapi ujian yang diberikan. Aku harus memandang setiap ujian-NYA dengan bersangka baik. Allah uji kerana Dia sayang. Hamba-NYA yang faham sahaja akan tahu ujian itu adalah tanda kasih sayang dari-NYA.

Tunggu sahajalah nanti macamana keputusannya. Yang pasti, dapat atau tidak semuanya sudah ditetapkan. Kalau dapat, alhamdulillah. Tak dapat pun alhamdulillah. Dah banyak sangat Allah bagi aku nikmat. Apalah sangat kalau nikmat yang sedikit itu ditarik oleh Dia.

Yang penting doa. InsyaAllah, apa yang aku dapat tak ada yang buruk melainkan ada kebaikan di sebaliknya.

P to the S : Sedang melatih diri untuk menulis. Walau bunyinya agak skema, tak apa. Nak buat orang faham dengan mesej kita, skema itu kadangkala perlu ^_^

Previous
Next Post »

1 Comments:

Click here for Comments
Cik Tieka
admin
December 5, 2013 at 10:45 PM ×

salam kak Tia, baca entry akk seperti diriku ini mmbaca sebuah cerpen..hehe.. akk mmg ada bakat dlm bidang penulisan :).. kata org kalau tulis dari hati, mesej tu akan sampai, semoga permohonan akk diluluskan msuk asrama.Amin,. sy belajar ssuatu.. dapat yg kta nak say Alhamdulillah, tak dapat pun say Alhamdulillah.. :)

Congrats bro Cik Tieka you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar