Bagaimana cara untuk menguatkan hati bila dia tinggalkan saya


Bukan sebulan dua saya mengenali dia. Tapi hampir 5 tahun kami bersama. Janji-janjinya tak pernah saya lupakan. Katanya ingin terus hidup bersama saya hingga ke akhirnya. Lebih-lebih lagi bila dia sudah memperkenalkan saya pada keluarganya.

Keyakinan saya pada dia semakin tinggi. Saya yakin dia tidak akan tinggalkan saya.

Tapi segalanya berubah bila dia semakin jauh dari saya. Pada mulanya, dia hanya memberikan alasan sibuk. Dan saya menerima alasan itu walaupun pada hakikatnya hati saya seakan tahu dia mulai berlaku tidak jujur.

Semakin hari, dia semakin berubah. Bila saya menghubungi dia, katanya saya menganggu. Bila pesanan dihantar, langsung tidak dibalasnya.

Sehinggalah saya mendapat tahu dia ada perempuan lain di belakang saya. Sakitnya, cuma Allah yang tahu. Saya cuba berlembut dengan dia untuk tahu hal sebenar. Dan seperti yang saya duga. Dia menafikan sekerasnya. Saya tahu dia berbohong.

Saya cuba bersabar kerana saya masih sayangkan dia dan hubungan yang sudah lama dibina itu. Tapi dia pula semakin hari semakin jauh dari saya. Ada sahaja perkara yang kami gaduhkan walaupun ianya hanya benda kecil sahaja.

Hati ini sudah tidak mampu menahan rasa sakit. Saya tahu dia ada perempuan lain. Saya kumpul semua bukti yang ada. Bila saya tunjukkan semua bukti-bukti itu, barulah dia mengaku. Tapi katanya dia masih sayangkan saya. Dia tidak mahu kehilangan saya. Dia minta saya beri dia waktu.

Demi hubungan kami, saya berikan dia waktu. Kerana sejujurnya, walau sakit macamana pun hati ini. Saya masih sayangkan dia. Atas alasan sayang itulah saya masih cuba bersabar.

Tapi kesabaran saya akhirnya dibalas kesakitan bila dia mengambil keputusan untuk meninggalkan saya dan pergi bersama perempuan lain. Waktu itu, saya masih sempat merayu padanya agar jangan tinggalkan saya. Saya masih perlukan dia.

Siang malam saya menangis memikirkan dia. Saya berharap dia akan kembali mencari saya. Namun hampa

Setiap hari saya mulai mengasingkan diri. Saya menjadi seorang yang pendiam. Hampir-hampir saya membunuh diri tapi Allah masih sayangkan saya. Kerana dia saya hampir gila.

Berkali juga saya menghantar pesanan merayu pada dia untuk kembali. Tapi hampa. Dia masih tetap dengan pendiriannya.

Pada suatu hari, bila saya masih menangis lagi. Terlintas di fikiran saya. Kenapa saya harus bermatian menangis untuk orang yang langsung tidak menghargai saya? Mungkin saja sekarang ini dia sedang ketawa bersama kekasih barunya. Dan saya? Terus-terusan mendera perasaan sendiri.

Ya Allah. Apa yang sedang saya lakukan ini? Apa ujian yang diberikan pada saya? Apa yang cuba Dia tunjukkan pada saya?

Saya cuba kuatkan diri. Saya mandi dan bersihkan diri. Saya masih menangis semahunya. Tapi kemudian saya kesat sisa airmata yang ada. Saya mahu mengambil wudhuk. Dan alhamdulillah, walaupun sudah lama saya tidak duduk atas sejadah. Allah masih berikan ingatan pada saya cara mengambil wudhuk dengan begitu jelas sekali.

Telekung dalam almari saya keluarkan.

Selesai solat, saya menangis lagi di atas sejadah. Saya mohon ampun pada Allah. Selama ini saya leka dengan kebahagiaan sementara. Saya lebihkan kekasih saya berbanding Allah yang telah menciptakan saya.

Satu persatu dosa saya di waktu silam berlegar di fikiran. Ianya seperti Allah menunjukkan betapa jahilnya saya dulu.

Hati kekasih, saya jaga sedikit pun tidak mahu dia terluka. Tapi Allah, saya abaikan.

Saya terlupa bahawa Allah lah yang berikan saya kebahagiaan itu. Tapi saya juga terlupa bahawa Allah boleh ambil kembali bahagia itu bila-bila masa yang Dia mahu.

Sia-sia saya merayu pada lelaki itu dulu tanpa saya sedar dia hanya manusia biasa yang boleh berubah hatinya bila-bila masa. Hanya pada Allah lah tempat untuk saya meminta.

Saya bersangka baik dengan Allah. Mungkin ini adalah yang terbaik buat saya. Mungkin lelaki itu tidak sesuai untuk menjadi pendamping saya di dunia dan akhirat. Kalau sekarang ini pun dia boleh tinggalkan Allah, tidak mustahil dia akan tinggalkan saya jika kami masih bersama.

Allah lebih tahu segalanya. Allah takkan menguji hamba-Nya melainkan dia tahu hamba itu mampu memikulnya. Saya redha dengan takdir yang Allah beri pada saya. InsyaAllah, perancangan Dia adalah yang terbaik.
posted from Bloggeroid
Previous
Next Post »

1 Comments:

Click here for Comments
Gee Lion
admin
October 1, 2016 at 1:01 PM ×

Itulah yg aku buat. Kembali mencari Allah. Entah macam mana, Allah mungkin mendengar rayuan aku & selepas berminggu-minggu hidup tak menentu bertanya pada diri apa yg tak kena, aku dapat melupakan lelaki tu dlm sekelip mata . Hidup aku jadi lebih fresh dan lebih bahagia. Semuanya kerana kembali meletakkan Allah dlm hidup :')

Congrats bro Gee Lion you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar